Posted by: pinkturtle2 | Mei 27, 2008

Selangor haramkan program berkonsep Islam Hadhari

Selangor haramkan program berkonsep Islam Hadhari

SHAH ALAM, 26 Mei: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak membenarkan sebarang program yang dikaitkan dengan konsep Islam Hadhari dilaksana dan dikembangkan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Dr Hassan Mohamed Ali berkata, melalui arahan tersebut, kesemua masjid dan surau di negeri itu tidak lagi dibenarkan mengadakan program yang menyentuh konsep yang diperkenalkan oleh kerajaan BN pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, arahan itu dibuat kerana konsep Islam Hadhari tidak diperlukan di Selangor, memandangkan ajaran Islam yang diamalkan umat Islam di negara ini termasuk di negeri itu telah pun lengkap dan menyeluruh meliputi pelbagai bidang kehidupan manusia.

“Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

“Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir di sini hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga menafikan pemimpin PAS di negeri itu pernah berjanji untuk menutup semua pusat hiburan dan kilang arak sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, PAS yang bergabung dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentabbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.

“Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni.

“Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa,” katanya.

Hassan mendakwa, pembinaan Jalan Sekinchan-Sabak Bernam adalah contoh pemberian tender secara runding terus yang diakui oleh Jabatan Audit Negara sebagai projek yang dibina tanpa mematuhi peraturan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ketika itu, bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) bangkit mencelah dan memberitahu kes itu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

“Projek ini ditentukan oleh JKR. Apa-apa tindakan pun mestilah kepada JKR. Bagi saya mudah saja, apa-apa cadangan yang dibuat ikut peraturan saya akan luluskan.

“Bagi kes Balkis, misalnya, jika ada salah guna kuasa atau wang sila buat laporan,” katanya. – Utusan, Berita Harian

kelantankini

Haramkan “Islam Hadhari” dinegeri-negeri Pakatan Rakyat

Sudah masanya untuk Pakatan Rakyat, Khususnya PAS untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap dasar-dasar dan penerapan Islam Hadhari yang lebih kepada materialistik di lima negeri yang diperintah. Inilah masanya, untuk kelima-lima negeri ini menerima cahaya Islam yang sebenarnya dan bukannya Islam Hadhari, Angka Sawan dicari!

Penerapan nilai-nilai Islam sebenar yang mengutamakan amalan dan juga pengukuhan akidah wajar mengantikan agenda Islam Hadhari yang kini sudah tidak releven. Islam Hadhari ala Umno juga telah banyak menyesatkan pemikiran ummah dan meninggalkan akidah diposisi kedua kehidupan dengan pembinaan pelbagai mercu tanda kejahiliyahan diserata negara.

Pembaziran dan juga penganiayaan akhlak harus dibanteras dengan memansuhkan segala projek yang dibina atas nama kemegahan dan juga kebanggaan. Segala aktiviti yang menjuruskan rakyat kepada pemahaman sempit terhadap Islam yang sebenarnya lebih toleran dan saksama haruslah dimansuhkan.

Segala akta dan kezaliman tindakan dari pihak berkuasa yang tidak mencerminkan keindahan muamalat Islam haruslah diketepikan.

Islam Hadhari haruslah dikuburkan dalam satu liang lahad bersama Umno. Inilah masanya Islam kembali memugar pemerintahan dan membajai ketajaman sentuhan Pakatan Rakyat.

http://syukran.wordpress.com


Leave a response

Your response:

kategori