Raja Petra…Raja Petra…lepas ni mengarut apa lagi?
Selepas ini mengarut apa pula… Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan ada menerima laporan risikan tentera seperti yang didakwa pengendali laman web Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin dalam akuan berkanunnya bahawa isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di lokasi pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu.
“Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul. Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera . Itu tak betul,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan jawatankuasa khas mempertingkat daya saing kelapa sawit di bangunan Parlimen hari Selasa.
Abdullah berkata demikian ketika ditanya mengenai akuan berkanun Raja Petra 18 Jun lalu yang menyebut Perdana Menteri ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera yang kononnya Rosmah berada di lokasi pembunuhan serta menyebut beberapa nama lain dengan menceritakan bagaimana bom dipasang dan siapa yang memasang bom berkenaan di badan Altantuya.
Ditanya adakah beliau percaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Rosmah terlibat, beliau berkata “Saya tidak percaya mereka terlibat”.
Kepada satu soalan sama ada beliau akan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Raja Petra itu, beliau berkata, Peguam Negara telah memaklumkan kepadanya bahawa perkara berkenaan telah pun disiasat.
Sebelum ini Agendadaily turut melaporkan kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mengenai perkara yang sama kerana nama beliau turut disebut dalam akuan berkanun Raja Petra tersebut.
Khairy dalam jawapannya berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada peguamnya terlebih dahulu kerana ia melibatkan implikasi undang-undang.
Isu akuan berkanun tidak terhenti setakat itu sahaja kerana hari Selasa, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang turut membawa usul di Dewan Rakyat ia dibincang tetapi ditolak.
Alasannya kerana kes berkenaan kini sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah.




























