Posted by: pinkturtle2 | Mei 17, 2008

Mahathir – Saya Sedia Disiasat

Saya sedia disiasat dan didakwa di mahkamah – Mahathir

JOHOR BAHARU 17 Mei — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau bersedia disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung dengan hasil siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai klip video Datuk V.K Lingam.

Pendakwaan terhadapnya di mahkamah akan memberi peluang kepadanya untuk menerangkan tentang pelbagai perkara yang dilakukan oleh hakim-hakim termasuk berkenaan usaha melobi, kata Dr Mahathir kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucaptama di Forum Umno Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 anjuran Badan Bertindak Gabungan Ahli-Ahli Akar Umno Johor dan MykmuJohor.com di sini.

Dr Mahathir berharap siasatan terhadapnya tidak akan ditamatkan di atas alasan tiada kes.

“Jikalau begitu saya tiada peluang untuk menerangkan apa yang berlaku.

Sebaliknya jikalau didakwa di mahkamah, maka saya dapat menerangkan apa yang saya lakukan dan apa yang orang lain termasuk hakim telah lakukan di dalam perkara lobi.

“Saya hendak cerita berkenaan hakim-hakim yang melobi saya. Jikalau melobi adalah salah, maka hakim-hakim ini sepatutnya disiasat,” kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai arahan Kabinet semalam supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja itu, yang menyiasat klip video yang mengandungi perbualan Lingam, seorang peguam kanan dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.

Individu yang dinamakan dalam laporan itu terdiri daripada Lingam, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan, dua bekas ketua hakim negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin, serta Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata beliau tidak menyangka mereka yang melobi itu melakukan perkara yang salah, kerana sepanjang menjadi perdana menteri, banyak pihak yang melobinya, baik untuk jawatan menteri, timbalan menteri dan jawatan-jawatan di dalam kerajaan.

Bagaimanapun kata bekas perdana menteri itu, keputusan yang dibuatnya tentang sesuatu pelantikan termasuk hakim-hakim adalah berdasarkan kepada penilaiannya sendiri.

“Keputusan saya adalah berdasarkan penilaian saya. Saya tidak peduli siapa lobi, siapa cerita, kalau saya putuskan orang itu patut dilantik, saya akan lantik.

Jikalau tak patut dilantik, walau dicadang oleh hakim, saya tidak akan lantik.

“Saya bukan posmen, bila Ketua Hakim cadang saya pun kata lulus dan pergi ke Yang di-Pertuan Agong dan baginda lulus. Kalau macam itu, lebih baik kata pelantikan Ketua Hakim harus diputuskan oleh Ketua Hakim, jadi saya tiada peranan langsung. Saya tidak mahu jadi posmen,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga ditanya cadangan Suruhanjaya Diraja agar siasatan turut dilakukan terhadap Vincent Tan dan Tengku Adnan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak mengetahui peranan mereka kerana mereka tidak pernah melobi dengannya.

“Sesiapa sahaja boleh memberi pandangan tentang pelantikan sesiapa, Perdana Menteri atau bakal Timbalan Perdana Menteri,” menurutnya sambil menambah, sistem pelantikan hakim sedia ada adalah baik.

“Apa yang menjadikan sistem itu tidak berjalan dengan baik adalah manusia,” katanya.

Forum itu dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang, termasuk anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, bekas ketua pengarang kumpulan New Strait Times Datuk A.Kadir Jasin, bekas anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad yang menjadi anggota penal majlis tersebut.

— BERNAMA


Responses

  1. semua manusia akan berhadapan dengan tuhan
    satu hari nanti dimahkamah tuhan dan adil seadil
    nya,baru tau masa tu siapa kita ni kerana tuhan
    tau semua hal,siapa kita masa tuu dunia ni boleh
    pusing pusing sana macammana fikirlaaa


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: