Posted by: pinkturtle2 | Jun 29, 2008

Najib mahu BNBBC dan Nazri berhenti bertelingkah

Najib mahu BNBBC dan Nazri berhenti bertelingkah

28-06-2008 06:15:24 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pertelingkahan dan perang mulut antara Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lepas, dihentikan.

Najib yang juga Ketua Whip BN di Parlimen dan Timbalan Pengerusi BN berkata perbalahan dalam mana-mana kumpulan dalam BN bukanlah merupakan perkembangan yang sihat.

“Saya harap ia tidak berterusan. Kita mesti mencari usaha untuk meredakan dan mendamaikan keadaan ini supaya kita memberi fokus kepada tanggungjawab kita dalam Parlimen iaitu membahas isuisu yang berkaitan kepentingan rakyat dan membela nasib rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa “Meeting of Minds: Developing the Malaysia Master Brand” di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan arahan supaya perkara itu  dihentikan Najib berkata :” Tak apalah, saya akan bisik (kepada mereka yang berkenaan).”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perang mulut itu yang bermula apabila Nazri melabelkan BNBBC sebagai kelab samseng kerana telah bertindak membuka penghadang yang diletakkan di lobi Parlimem bagi membataskan pergerakan wartawan ketika di bangunan Parlimen.

Ekoran itu BNBBC menganggap perbuatan Nazri keterlaluan dan akan membincangkan bentuk tindakan yang wajar diambil ke atas menteri itu Isnin ini dan Nazri pula mencabar BNBBC  mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya  memecat beliau sebagai menteri.

Isu itu tercetus Selasa lepas apabila wartawan yang bertugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat dihalang membuat liputan di lobi Parlimen dengan alasan tidak mahu melihat kawasan berkenaan bercelaru.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kerajaan akan berusaha memastikan operasi mengusir pendatang asing tanpa izin di negara ini tidak bertentangan dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Mana yang masuk (tanpa dokumen yang sah) dalam negara kita, mereka tergolong dalam takrif sebagai pendatang tanpa izin dan kita akan ambil tindakan.

“Walhal banyak yang datang nak cari pekerjaan dalam negara kita masuk cara baik, ikut peraturan.    Mereka tu kita terima untuk bekerja dan mencari rezeki di dalam negara ini,” katanya.

Beliau mengulas laporan Amnesty International yang meminta kerajaan mengkaji tindakan itu dengan kemungkinan wujud pencabulan hak asasi manusia selepas kerajaan membuat pengumuman Rabu lepas untuk melancarkan operasi besarbesaran mengusir pendatang tanpa izin di Sabah.

Najib berkata tindakan kerajaan itu tidaklah berbeza dengan negara lain yang turut mengusir pendatang tanpa izin malah sesetengah negara mempunyai peraturan lebih ketat dan hukuman lebih berat terhadap sesiapa yang masuk secara haram.

Ditanya sama ada operasi itu akan mengakibatkan aktiviti ekonomi negara terjejas, beliau berkata majikan terutama di sektor pembinaan perlu memastikan pekerja asing mereka mempunyai permit yang sah.

“Jadi adalah menjadi kewajipan majikan untuk mengesahkan pekerja (tanpa izin) mereka. Kita tidak boleh menggalakkan majikan menggaji pekerja tanpa izin,” katanya.

Operasi itu akan membabitkan semua warga asing yang telah dikenal pasti tidak mempunyai sebarang dokumen sah sama ada daripada negara asal mereka mahupun kerajaan Malaysia.

Setakat ini kira-kira 300,000 pendatang asing tanpa izin di Sabah telah dihantar pulang.
BERNAMA


http://www.mstar.com.my


Tinggalkan komen

Kategori