Posted by: pinkturtle2 | Disember 6, 2008

Terima kasih kepada kerajaan Melaka atas penghormatan ini – SRK

SHAH Rukh Khan yang dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk mengaminkan doa selepas sesi khas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada pelakon popular itu di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.-fotoBERNAMA

Penampilan Julung Kali Shah Rukh Khan Berpakaian Baju Melayu Jadi Tumpuan

MELAKA: Penampilan julung kali pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan, lengkap berpakaian baju Melayu hitam, bersongkok dan bersongket yang diikat dengan gaya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, membuatkan kira-kira 1,000 tetamu terpukau melihatnya pada sesi khas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada pelakon popular itu.

Sebaik tiba di pekarangan Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh iaitu tempat berlangsungnya istiadat itu pada pukul 10.55 pagi tadi, Shah Rukh Khan yang tidak putus-putus melemparkan senyuman sambil melambai-lambaikan tangannya kepada peminat, terus diiring memasuki dewan berkenaan.

Di samping menjadi tumpuan jurugambar media massa dalam dan luar negara, para tetamu turut tidak melepaskan peluang keemasan untuk merakamkan gambar pelakon itu menggunakan kamera dan ada yang tidak ketinggalan menggunakan kamera pada telefon bimbit, merakamkannya dari tempat duduk masing-masing.

TUN Mohd Khalil Yaakob bersalaman dengan Shah Rukh Khan selepas menganugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka kepada pelakon terkenal Bollywood itu hari ini. -fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada 1965, tiba di Melaka untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri, Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Shah Rukh Khan adalah antara 77 orang yang dianugerahkan darjah yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan hari lahir Mohd Khalil ke-70 pada 11 Oktober lepas.

Pelakon itu tidak dapat datang pada hari berkenaan atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Pelakon filem Kuch Kuch Hota Hai itu memulakan kariernya dengan muncul dalam satu siri televisyen pada 1988 dan muncul kali pertama dalam filem Dewana pada 1992 yang menjulang namanya di Bollywood.

Pada sesi khas itu, busana Baju Melayu Cekak Musangnya ditaja oleh Sovereign Wear Sdn Bhd, sebuah syarikat butik di Kuala Lumpur manakala samping songket rasmi negeri Melaka bermotif bunga kesidang disumbangkan oleh Institut Seni Malaysia Melaka.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Mohd Khalil, Toh Puan Zurina Kassim; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman.

Sebaik majlis itu berakhir, tetamu terutama pembesar negeri turut mengambil kesempatan untuk bergambar dengan Shah Rukh Khan.

Pergerakan dalam dewan itu yang agak terhad membuatkan kebanyakan tetamu hanya berulang kali merakamkan gambar Shah Rukh Khan dari tempat duduk masing-masing.

Ada ketikanya, keadaan dalam dewan agak riuh apabila mereka masing-masing meminta Shah Rukh Khan berpaling ke arah mereka untuk dirakamkan gambar.

Shah Rukh Khan, yang merupakan bintang filem asing pertama dianugerahkan DMSM, telah menerima lebih 40 anugerah dalam industri hiburan dan perfileman di peringkat antarabangsa antaranya Screen Award, The Zee Cine Award, NDTV Award, International India Film Award dan lain-lain.

Shah Rukh Khan pernah berlakon dalam filem One 2 Ka 4 yang memaparkan kawasan menarik di Malaysia termasuk A’Famosa Resort di Alor Gajah dekat sini.

Sementara itu, pada sidang akhbar bersama Mohd Ali, Shah Rukh Khan berulang kali mengucapkan terima kasih kepada Mohd Khalil dan kerajaan negeri Melaka di atas penganugerahan darjah yang membawa gelaran Datuk kepadanya.

“Terima kasih kepada kerajaan Melaka atas penghormatan ini. Saya bangga menerima anugerah ini dari sebuah negeri yang tidak faham bahasa saya,” katanya.

Katanya, Melaka mempunyai banyak tempat yang indah dan beliau akan datang semula ke sini untuk membuat penggambaran pada masa depan.

“Melaka mempunyai banyak kawasan yang mempunyai panorama yang indah dan saya akan memperkenal negeri ini kepada dunia,” katanya.

Beliau juga berjanji untuk membantu kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah studio filem tertutup yang secara tidak langsung akan memajukan industri perfileman Malaysia.

Shah Rukh berkata, sangat teruja untuk memakai baju Melayu lengkap bersamping untuk menerima anugerah itu.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana tidak dapat tinggal lebih lama di negeri itu dan bercadang untuk membawa keluarganya bercuti di negeri itu dalam kesempatan lain.

http://www.bernama.com.my


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: