Posted by: pinkturtle2 | Disember 7, 2008

Iktibar Dari Tragedi Bukit Antarabangsa

Iktibar Dari Tragedi Bukit Antarabangsa

BIASALAH manusia (orang kita) bila terkena baru hendak mengadah. Suka berubat daripada mencegah. Suka berlengah dan membuang masa! Bila berlaku sesuatu tragedi macam-macam komen, janji, tekad dan arahan dibuat agar ianya tidak berulang kembali. Semuanya bagaikan tahi ayam saja, hangat beberapa minit lepas itu terus sejuk dan menjadi hampak.

Barangkali ini sikap semula jadi makhluk bernama manusia, bahawa ianya selalu lupa dan bertindak melewati batas. Kalau tidak masakan Allah s.w.t. menekan dan mengulangi peringatan demi peringatanNya kepada manusia, namun mereka juga tetap lupa.

Surat As-Ashr Demi Masa adalah gambar sebenar bagaimana liatnya manusia dalam mematuhi arahan Tuhan dan berwaspada dengan janj-janjiNya. Manusiaan dalam kealpaan dan kerugian!

Apabila berlakunya tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang kelmarin yang meragut empat nyawa setakat ini dan kemusnahan jutaan ringgit harta benda, kita jadi seperti baru tersedar dari tidur yang lena.

Selepas semuanya menjadi puing-puing barulah kita gopah gapah mahu kembali kepada realiti dan hakikat dan ingin membuat persediaan atau baru menyesal sedangkan kemusanahan dan maut sudah pun meragut jiwa manusia.

Lalu kita pun bercakap dan bercakaplah, bertutur dan bertuturlah begitu dan begini. Resolusi pun dicari untuk mengatasinya. Semua pihak dan individu turut bercakap dan memberi pandangan penyelesaian dari orang biasa sampailah kepada Perdana Menteri. Semuanya seperti bersedia ingin perbetulkan keadaan.

Lagak itu sepertilah seeorang budak kecil mahu menyusun kaca yang sudah pecah dan hancur. Seharusnya dia berhati-hati dan mengambil sikap menjaga sekeping cermin berharga itu disimpan ditempat paling selamat agar menjamin ianya tidak robek.

Selalunya juga bila berlaku tragedi malang seperti itu maka kita pun saling tunding menunding anara satu sama lain. Dalam hal ini pihak berkuasalah dijadikan mangsa walhal sebelum ini amaran dan nasihat sudah pun diberikan. Peringatan demi peringatan sudah dikeluarkan. Sudah berbueh mulut pakar bumi dan alam sekitar memperihalkan keadaan dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi. Tetapi kerana manusia ini sering diambuk amarah, ingin melebih dan lagak tinggi, tamak dan tidak pernah bersyukur dengan nikmat Tuhan, maka berlaku apa yang selalu berlaku itu.

Sebenarnya tidak ada siapa yang bersalah atau tidak bersalah dalam hal ini, termasuk apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa itu. Semua manusia harus bertanggungjawab dan menerima akibatnya. Setiap dari kita kena siap memiko risikonya. Tuhan membina alam maya ini dengan cantik dan indah untuk kegunaan manusia. Yang mengkhianat dan memusanahkan adalah manusia sendiri. Kita!

Tuhan tidak pernah mungkir dan tidak akan mungkir! Tuhan akan memenuhi apa yang manusia kehendaki! Tidak kira baik atau buruk. Di sinilah sifat Allah, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tegasnya yang memusnahkan dunia ialah manusia sendiri, manusia yang tidak insaf, termasuk apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa itu.

Kita perhatikan apa yang sudah, sedang dilakukan dan apa yang ada dalam kepala kita! Kita sedang merancangkan sesuatu yang bersalahan dengan fitrah alam dan fitrah kehidupan kita sendiri. Renung dan masuklah ke dalam diri, jawabnya sudah lama ada terdampar di sanubari kita. Kadang-kadang kita berbohong kepada diri sendiri.

Peringatan Allah dalam surat Ar Ruum, ayat 41 menjelaskan segalanya dan kita tidak perlu menyesal sebaliknya kita perlu insaf.

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagiaan dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).- Surah Ar Ruum: 41

Begitulah peringatan Allah. Jadi kita tidak perlu menyesal dan menyalahkan kepada sesiapapun melainkan diri kita sendiri. Berjanji dan bertaubatlah tidak mengkhianti perintah Tuhan lagi.

Cuma untuk menenangkan perasaan, menghindari akan berulangnya tragedi yang sama, kita perlu mengambil kejadian itu sebagai hikmah. Ada rahsia dan maksud Tuhan disebalik kejadian itu. Tidak sia-sia Tuhan mentadkirkan sesuatu baik yang menggembira dan mengazabkan. Dan jika kita mengguna mafaatnya kita akan selamat dan akan ditambah rahmat.

Hikmahnya, kita perlu jadikan iktibar, panduan dan sempadan dalam kehidupan. Tujuannya bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih teruk lagi. Dan apa yang berlaku itu kita jangan kufur dan menyalahkan Tuhan kerana Dia sudah tegaskan;

“Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu, Kami timpakan atas orang-orang yang zalim itu siksa dari langit, karena mereka berbuat fasik.” – Surah Al Baqarah: 59.

Ditegaskan lagi dalam surah Asy-Syura:30; “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh tanganmu sendiri.”

Jadi berhubung dengan tragedi di Bukit Antarabangsa itu dan kejadian seumpama dengannya tidak payahlah kita menepuk dada dan bertanyakan selera lagi, tetapi kita kena sama-sama mengakui bahawa kita telah bersalah. Tahziah dan didoakan semoga diberikan Allah kekuatan iman kepada semua yang terlibat dengan tragedi itu!

http://msomelayu.blogspot.com


Respon

  1. hmm ini sume ketentuan Allah, mungkin ada kesilapan kita bersama di mana2 yg kite tak sedar, dan itu salah satu petunjuk dan kite perlu ambil sbg iktibar…

  2. Kepada mereka yang musnah harta benda dalam trajedi ini, renungkan dan fikirkan sejenak. Mereka mungkin terkena salah satu daripada perkara ini:-
    (1) Anda orang baik tidak pernah menipu orang atau mengambil harta secara haram, maka Allah akan menggantikan kerugian anda sepeluh kali ganda sama ada di dunia atau di akhirat dan sama ada dalam benda atau bukan kebendaan (2) Mungkin anda pernah mendapat harta secara haram dan Allah ambil harta itu supaya anda dan keluarga anda tidak berterusan menggunakan harta haram

  3. “saya diberitahu bahawa kawasan berkenaan adalah kawasan tadahan air.” pm

    “pihak developer tidak patut menekan kerajaan…”
    gambaran kerajaan yang lemah…ditekan dengan minyak pelincir $pecial…

    “pembangunan di kawasan tanah tingggi diberhentikan..” najib… yang ada kena teru$kan, $ebab banyak fulu$ $udah ma$uk…malay$ia – ada fulu$ boleh bere$ $semua

  4. Jangan salahkan hujan. Jangan kata ini bencana alam. Alam hanya ikut resmi alam. Memang kita yang salah. Tak pernah belajar dari kesilapan. Degil, ketegak satu macam. Tak boleh ditegor. Buat kerje sambil lewa, macam pahat dengan penukul. Semua orang tahu rasuah wujud, tapi diam je. Ada yang sanggup rasuah, ada yang kerja di syarikat rasuah. Tak ada ketelusan. Semua kerana duit. Pembeli yang jadi mangsa. Bolehkan nyawa diganti dengan duit?

  5. kenyataan yg selalu di dengar…PANTAU
    PANTAU nak paling mudah dan senang buat masa kini ialah meletakkan cctv.Bila AMANAH tak apply dari semua pihak yg terlibat……terima lah akibatnya.
    takziah dari saya kpd. yg. menimpa musibah.

  6. Jauhi Daripada Perbuatan Yang Mendatangkan Bala …

    Hadith :
    Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya. ”
    Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi

    Huraian :
    1. Sesungguhnya bala Allah S.W.T akan menimpa hamba-hambanya yang bersekongkol dalam melakukan maksiat dan kemungkaran.

    2. Selaku umat Islam kita hendaklah sentiasa berwaspada daripada melibatkan diri dengan perbuatan-perbuatan yang salah sama ada di sisi agama mahupun undang-undang kerana semuanya ini akan memberikan imej yang tidak baik terhadap Islam di samping menunjukkan contoh yang buruk kepada yang bukan Islam.

    3. Adalah menjadi kewajipan untuk kita menegur sebarang perkara yang buruk sebelum ianya berlarutan menjadi satu budaya dalam masyarakat seperti maksiat, penindasan dan sebagainya kerana dibimbangi jika dibiarkan suatu masa kelak bala Allah akan menimpa yang akan mengenai seluruh makhluk di sekitarnya.

  7. Herm, sudah jelas dan nyata depan mata, tempat pembangunan yang didirikan tu memang tak sesuai, tapi, tetap jugak buat. 2 tragedi sebelum ni, tak pernah dijadikan iktibar. Semuanya kerana ketamakkan harta semata-mata.

  8. bila jadi bencana seperti ini org kaya mula menyalahkan org lain..mula banyak komen,banyak songeh..mereka masih tidak sedarkan diri.tidak fikir kekuasaan Tuhan dan sebab-sebab terjadi kejadian ini pada mereka..


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: