Posted by: pinkturtle2 | Mei 29, 2009

Bangunan Jaya Supermarket runtuh, dua maut (Video)

Jaya supermarket ‘collapses’

……………………………………………………………………………………………………………………………….

Bangunan Jaya Supermarket runtuh, dua maut

PETALING JAYA: Bangunan yang pernah menempatkan pasar raya Jaya Supermarket di Seksyen 14/20 di sini runtuh petang semalam mengorbankan dua daripada sembilan pekerja yang terperangkap ketika mereka melakukan kerja-kerja merobohkan bangunan itu.

Sehingga 11.30 malam tadi, empat mangsa yang terperangkap telah dikeluarkan dari tapak runtuhan di mana dua meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamad berkata pasukan mencari dan menyelamat masih meneruskan usaha untuk mengesan lima lagi mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan itu.

“Kini telah mengenal pasti lokasi mangsa yang terperangkap dengan bantuan kontraktor dan pekerja-pekerja lain yang selamat,” katanya yang ditemui pemberita di tempat kejadian.

Antara yang terlibat dalam operasi mencari dan penyelamat ialah 50 anggota polis, bomba (30), Pasukan Mencari dan Menyelamat (Smart) (15), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) (30) dan Rela (30), katanya.

Arjunaidi berkata struktur bangunan yang runtuh itu adalah satu pertiga dari keseluruhan bangunan yang berkeluasan 6,400 meter persegi meliputi bangunan 10 tingkat yang bersambung dengan bangunan lima tingkat.

Arjunaidi berkata pihak bomba menggunakan “skylift” untuk membuat penilaian mengenai tahap keselamatan struktur bangunan yang runtuh itu bagi membolehkan pasukan penyelamat untuk memasuki tapak runtuhan.

Mayat pertama yang dikenali sebagai Maskor, 28, dikeluarkan dari tapak runtuhan kira-kira 6.50 petang manakala mayat kedua yang masih belum diketahui identitinya dikeluarkan pukul 10.20 malam.

Mayat kedua itu sukar dikenal pasti identitinya berikutan keadaan mayat yang hampir hancur akibat dihempap batu konkrit.

Timbalan Pengarah Iktisas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Jamiyah Hassan berkata keadaan dua mangsa yang cedera yang dirawat di pusat perubatan itu kini stabil.

Mangsa yang cedera itu adalah abang kepada Maskor yang dikenali sebagai Suryano, 32, dan seorang rakan sekerja yang dikenali sebagai Sale, 48.

Dr Jamiyah berkata seramai 45 anggota paramedik dari tiga buah hospital iaitu PPUM, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur berada di lokasi kejadian untuk memberikan bantuan perubatan.

Arjunaidi berkata insiden itu bagaimanapun tidak mendatangkan bahaya kepada kawasan perumahan berhampiran.

Tinjauan mendapati penduduk di kawasan perumahan sekitar masih berada di kediaman masing-masing.

Laluan di hadapan bangunan runtuh itu ditutup pada lalulintas bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan manakala jalanjalan lain di kawasan Seksyen 14 dibuka seperti biasa serta aliran trafiknya terkawal.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Penglima Lajim Ukim berkata siasatan awal mendapati bangunan itu runtuh dipercayai berpunca dari lebihan muatan jentera berat yang digunakan bagi kerjakerja merobohkan bangunan itu.

Seorang saksi, Syed Mohammad Aidid Syed Ahmad Aidid, 41, berkata beliau mendengar satu dentuman kuat seperti guruh ketika kejadian itu berlaku.

“Bangunan itu betul-betul di sebelah kiri saya. Saya nampak habuk. Batu-batu jatuh di atas kereta saya macam hujan batu,” katanya.

Syed Mohammad Aidid berkata beliau baru meninggalkan bangunan Digital Mall yang terletak bersebelahan bangunan yang runtuh itu untuk ke pejabatnya di Phileo Damansara.

“Di hadapan saya ketika itu terdapat sebuah kereta Proton dan seorang perempuan sedang melalui kawasan itu. Namun semua mereka sempat menyelamatkan diri. Saya pula terus pecut, bagaimanapun kereta saya di bahagian kiri dan atas kemek. Waktu itu saya rasa amat takut dan sempat berdoa agar tidak ditimpa sebarang kejadian buruk,” katanya. -BERNAMA


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: