Posted by: pinkturtle2 | Mei 8, 2010

Tak perlu mohon maaf, tapi sedia menghadap Sultan – Zaid Ibrahim

Saya tidak perlu minta maaf kerana saya tidak membuat sebarang kesalahan, saya cuma memberikan pandangan mengikut undang-undang.Jadi, saya hendak minta maaf untuk apa? Kalau saya buat salah, baru saya akan minta maaf - Datuk Zaid Ibrahim

Zaid: Tak perlu mohon maaf, tapi sedia menghadap Sultan

PETALING JAYA, 8 Mei — Datuk Zaid Ibrahim (left) menyatakan kesediaan untuk menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin bagi menerangkan maksud tulisan beliau berhubung titah larangan penggunaan masjid untuk tujuan berpolitik.

“Saya sentiasa taat dan hormat kepada pemimpin tertinggi termasuk Sultan Selangor dan bersedia menghadap baginda bagi menjelaskan maksud tulisan di dalam blog saya tempoh hari.

“Tidak terlintas langsung untuk menghina sesiapa cuma saya sekadar membuat tafsiran mengikut undang-undang negara,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Bekas calon kerusi Parlimen Hulu Selangor ini memberitahu tujuan menghadap Sultan Selangor hanya untuk menjelaskan maksud tulisannya dalam blog beliau, bukannya untuk meminta maaf.

Isu penggunaan masjid untuk tujuan berpolitik muncul ketika kempen pilihan raya kecil itu bulan lalu.

“Saya tidak perlu minta maaf kerana saya tidak membuat sebarang kesalahan, saya cuma memberikan pandangan mengikut undang-undang.

“Jadi, saya hendak minta maaf untuk apa? Kalau saya buat salah, baru saya akan minta maaf,” kata beliau.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib yang mempertikaikan kenyataan dalam blog beliau.

Menurut Mohamad, menjadi kesalahan jika sesiapa mengingkari dan mempertikaikan arahan dan perintah Sultan Selangor.

Beliau merujuk kepada Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor yang mengatakan arahan yang dikeluarkan Sultan Selangor atau Mais mempunyai kesan dan berkuat kuasa tanpa perlu diwartakan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Wira Perkasa pula mendesak Zaid memohon maaf dalam 24 jam selain mengadakan demonstrasi di pekarangan ibu pejabat PKR kelmarin bersama Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) yang terdiri daripada Persatuan Kebajikan Islam Selangor, Gabungan Graduan Melayu Muda, Pertubuhan Anak-Anak Bugis dan Persatuan Pembela Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun demonstrasi dijadual semalam dibatalkan atas alasan Zaid telah memohon maaf.

Zaid dalam blognya menulis bahawa kuasa Sultan dalam membuat arahan dan perintah dalam hal-hal agama Islam mestilah tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Agama Islam sesebuah negeri dan keputusan itu diwartakan sebelum ia berkuatkuasa sebagai undang-undang negeri yang sah.

Bekas anggota Dewan Rakyat ini memberitahu, sebagai peguam beliau tidak bersetuju bahawa kuasa mengeluarkan arahan dan perintah itu adalah kuasa mutlak yang tidak perlu merujuk kepada DUN.

“Saya berpendapat kuasa yang diberi kepada kerajaan negeri di bawah Artikel 74 yang dibaca bersama-sama dengan Artikel 80 Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang serta peraturan dalam hal ehwal agama Islam diberi kepada pihak berkuasa negeri.

“Jika kuasa membuat perintah serta arahan dalam hal-hal agama Islam itu boleh dibuat oleh Raja-raja Melayu tanpa perlu merujuk kepada DUN dan berkuat kuasa sebagai undang-undang serta-merta tanpa diwartakan, ia bererti kita kembali ke zaman Khalifah dahulu.

“Di mana Khalifah boleh melaksanakan undang-undang Islam tanpa merujuk kepada pihak lain.

“Justeru, dalam sistem Raja Berpelembagaan kuasa raja itu hanya boleh diguna pakai secara sah jika ia mengikut kehendak dan dalam kaedah yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri,” katanya.

Tambah Zaid, konsep Raja Berpelembagaan itu sebenarnya bermaksud Raja-raja Melayu mempunyai kuasa tertentu, namun perlaksanaan kuasa tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan ataupun negeri.

“Dalam hal menggubal undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mahupun negeri memperuntukkan bahawa setiap undang-undang itu perlu digubal oleh Parlimen (peringkat Persekutuan) dan DUN (peringkat Negeri).

“Jadi ini selari dengan prinsip demokrasi yang kita amalkan dimana rakyat menentukan wakil-wakil mereka dalam Dewan Perundangan Negeri masing-masing.

“Justeru, fungsi penggubalan undang-undang terletak di tangan wakil-wakil yang dipilih rakyat dan perkara inilah yang saya ingin ketengahkan dalam tulisan saya,” katanya. themalaysianinsider


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: