Posted by: pinkturtle2 | Mei 9, 2010

Kesal dengan sikap Raja Perempuan yang menghalang mereka daripada melawat Baginda..

Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra (kiri) bersama adindanya, Tengku Salwani pada sidang akhbar khas berkaitan krisis Istana Kelantan di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur hari ini

Dua Kakanda Dakwa Sultan Kelantan Gering Kerana Kecuaian Pihak Tertentu

KUALA LUMPUR: Krisis Istana Kelantan semakin meruncing apabila dua kakanda Sultan Kelantan hari ini mendakwa kegeringan adinda mereka, Tuanku Ismail Petra sekarang adalah berpunca daripada kecuaian pihak tertentu.

Datuk Tengku Rozan dan Datuk Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra pada sidang akhbar khas di Rumah Kelantan di sini hari ini turut menegaskan, mereka kesal dengan sikap Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang menghalang mereka daripada melawat baginda sejak dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM.

Tengku Rozan berkata, turut dilarang menziarahi baginda termasuk beberapa kerabat, kenamaan dan ulamak.

“Hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan Kelantan sahaja dibenarkan melawat.

“Persoalannya mengapa mengapa panel doktor dan alim ulama dihalang dari melawat baginda? Adakah pihak-pihak yang cuba melindungi tahap kesihatan tuanku,” katanya pada sidang akhbar khas di Rumah Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Petang ini, Tuanku Ismail dibawa pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian selepas lima hari ditempatkan di HUSM.

Baginda dibawa menaiki kenderaan rasmi Istana Kelantan meninggalkan HUSM kira-kira pukul 5 petang.

Turut mengiringi baginda ialahTengku Anis.

Dalam pada itu, Tengku Rozan menyeru semua pihak memberi kepercayaan kepada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra melaksanakan tanggungjawab baginda.

“Apa yang dilakukan baginda adalah apa yang terbaik untuk keluarga diraja Kelantan,” tegasnya.

Sementara itu Tengku Salwani ketika mengulas insiden Tengku Seri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan isterinya, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang dikatakan dihalang daripada menziarahi baginda, beliau menjelaskan, mereka sebenarnya tidak dihalang sebaliknya pada ketika itu Tengku Muhammad Faris berada dalam Wad Diraja itu.

“Sebelum itu saya nak perbetulkan bahawa Tengku Abdul Aziz adalah ayahanda saudara Tengku Anis bukan ayahanda saudara baginda sultan.

“Pada masa itu Pemangku Raja menitahkan supaya polis tidak membenarkan sesiapapun masuk sepanjang baginda bersama ayahandanya,” tambahnya.

Mstar
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Apa yang dilakukan baginda adalah apa yang terbaik untuk keluarga diraja Kelantan – Tengku Rozan

Kakak dakwa Tengku Anis kawal sultan..

Dua orang kakak kepada Sultan Kelantan – Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra – hari ini mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, yang mengawal ketat sultan.

Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan para pembantunya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara hari ini, Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) berkata, beliau difahamkan seorang kakitangan hospital telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Sultan Kelantan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu, Kelantan.

Sidang akhbar tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam pergolakan keluarga diraja Kelantan antara Tengku Fakhry Petra dengan abangnya, Tengku Faris Petra, berhubung takhta kerajaan negeri.

Seorang lagi kakak baginda, Tengku Rozan (kiri dalam foto) berkata, beliau dan Tengku Salwani dilarang Raja Perempuan daripada menziarahi sultan ketika baginda dirawat di Singapura sebelum ini.

Beliau mendakwa, mereka dilarang berbuat demikian selama sembilan bulan mereka berada di republik itu.

Pelawat lain, katanya, termasuk pakar perubatan dan pakar agama dari Malaysia, juga turut dilarang daripada menemui baginda.

Dakwanya lagi, hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan dibenarkan melawat baginda.

Tengku Rozan juga berkata ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk ‘merawat’ sultan dengan “barang-barang yang diragui dari segi hukumnya” ditemui dekat baginda di Singapura.

Malaysiakini


Respon

  1. jange dok gege, kito dengar jah gapo anok beranok ni cerito, pah tu lu fikir la sendiri….


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: