Posted by: pinkturtle2 | Mac 11, 2012

Wawancara Syria Bersama Dengan Ustaz Abdul Malik Abdul Karim..

Sudah setahun berlalu revolusi di Syria yang dicetuskan pada Mac 2011. Kebangkitan rakyat yang pada mulanya itu atau dikenali sebagai revolusi kini bertukar menjadi penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat yang mahukan demokrasi dan keadilan kepada negara itu. Bagi mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkaitan ini, Unit Penerangan & Penerbitan DPM (MAQAZ) Shoubra telah berkesempatan untuk mewawancara bersama Kordinator Kempen Prihatin Syria yang ditubuhkan oleh PMRAM saudara Muhammad Abdul Malik Abdul Karim pada 23 Februari 2012 yang lepas. Beliau juga merupakan Penasihat PMRAM dan Ketua Sekretariat Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara di Mesir. Semoga dengan sedikit usaha ini dapat memberi penjelasan kepada kita berkenaan apa yang berlaku di Syiria sekarang .

1. Jika dilihat kepada laporan di media sekarang ini, rakyat Syria sekarang ibarat berada di bumi asing, pembunuhan berlaku cukup-cukup menyayat hati bagi sesiapa yang melihatnya. Untuk itu bolehkah Ustaz jelaskan apakah yang sebenarnya berlaku di Syria sekarang ini?

Sebenarnya apa yang berlaku di Syria hari ini adalah penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai, bukan lagi revolusi. Kebangkitan mereka bagi melaksanakan tuntutan jihad yang paling besar iaitu seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Jihad yang paling afdhal adalah menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” Mereka bangkit setelah dizalimi lebih 40 tahun. Mereka bangkit demi menuntut sebuah kebebasan dan demokrasi. Keadilan dan hak seorang warganegara yang terlalu dinafikan hak terutama dalam soal politik dan pemerintahan. Bagi saya, revolusi di Syria ia amat berbeza dengan revolusi yang berlaku di Tunisia, Libya dan di Mesir. Syria terpaksa mempersembahkan ribuan rakyatnya sebagai ganti kepada makna sebuah kebebasan. Mereka keluar ke jalan-jalan raya tanpa senjata bahkan keluar secara aman berhadapan dengan tentera-tentera rejim yang amat kejam dan dilengkapi pelbagai kemudahan senjata. Tetapi mereka tetap tabah meneruskan perjuangan sekalipun usia revolusi mereka sudah menjangkau setahun. Ketabahan mereka khasnya kepada penduduk di Baba ‘Amru dalam wilayah Homs yang dikepung dan digempur sejak sebulan lalu dikagumi oleh dunia.

2. Siapakah sebenarnya Bashar Assad dan adakah beliau yang menjadi punca sebenar kepada kezaliman yang berlaku di Syria sekarang atau ada tangan lain lagi yang menjadi dalang disebalik pembunuhan dan penyeksaan yang berlaku di Syria sekarang?

Bashar Al-Asad adalah penerus kepada dinasti keluarga Al-Asad yang diasaskan oleh bapanya, Hafez Al-Asad. Basyar mempunyai abang, Basil tetapi meninggal dunia dalam satu kecelakaan jalan raya pada tahun 1994 yang dirancang demi kepentingan politik Basyar. Basil seorang yang amat berlainan watak dengan bapa dan adiknya, Basyar. Basil dilihat cenderung kepada agama bahkan sering mengundang para ulamak menyampaikan pengajian di istana. Basyar seorang doktor mata. Selepas kematian bapanya pada tahun 2000, Basyar dilantik menjadi Presiden. Tetapi malangnya dia tidak mempunyai pengalaman dalam politik. Ini menyebabkan dia melantik ahli keluarganya menjadi pembantunya. Antaranya ialah adik lelakinya, Maher Al-Asad yang dilantik sebagai Ketua Tentera, Atif Najib sebagai Ketua Pasukan Polis di Dar’a selain banyak mendengar pandangan dari ibunya, Anisah Makhluf. Latarbelakang keluarga Al-Asad ini berpegang kepada fahaman sekular dan menganut Syiah Nusairi. Tidak hairan, terdapat satu pendedahan bahawa ibunya sering menjadikan fatwa dan pandangan pemimpin tertinggi Syiah di Iran, Ayatullah Ali Khomeini sebagai rujukan keluarga mereka dalam mentadbir negara.

Sebenarnya Syiah Nusairi ini telah disepakati ulamak Sunni bahawa Syiah ini telah keluar dari Islam berdasarkan kepercayaan mereka yang telah menyimpang dari aqidah Islam sebenar. Sebagai contoh, kalangan mereka ini yang menyembah matahari, bulan bahkan awan kerana menganggap Ali bin Talib r.anhu itu berada di atas makhluk yang disebutkan tadi. Bahkan jika diperhatikan tiada satu pun bermula dari aqidah hingga syariat yang boleh disamakan antara Sunni dengan Syiah Nusairi. Pemujaan mereka terhadap Ali dan isterinya, Fatimah Az-Zahra’ hingga mencapa tahap Ali adalah Tuhan sudah cukup menjadikan mereka syirik. Ini belum lagi dilihat cacian mereka terhadap para sahabat Nabi s.a.w, kebencian terhadap Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab, mencerca isteri Rasulullah, Aisyah dan Hafsah. Belum lagi dilihat dari sudut menambah surah-surah palsu dalam Al-Quran kononnya terdapat surah yang menjadi bukti Allah melantik Ali sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w dan pelbagai penyelewengan lain. Senjata utama mereka yang cukup berbahaya ialah taqiyah. Ramai tidak mengetahui, taqiyah ini digunakan oleh Syiah bagi tipu muslihat mereka. Taqiyah bermaksud lakonan atau mudahnya lidah bercabang. Bagi Syiah, taqiyah ini adalah harus bagi mereka. Sebagaoi contoh, menghalalkan darah Nasibi atau “musuh Ali dan keluarganya” yang ditujukan kepada pengikut Sunni. Jika ditanya, mereka tidak akan mengaku bahkan mengatakan ia adalah fitnah kepada Syiah akan tetapi jika dirujuk kepada kitab-kitab muktabar mereka, ada disebut dengan jelas. Boleh rujuk kitab “Usul Al-Kafi” oleh Al-Kailani, El-Istibsor atau Man La Yahdurul Faqih yang ditulis oleh ulamak-ulamak mereka.

Oleh sebab itu, tidak hairan pada Selasa lalu, kumpulan ulamak yang diketuai oleh Dr.Ali As-Salus mengeluarkan fatwa bahawa Basyar sudah kafir dan darahnya sudah halal untuk dibunuh.

3. Bagaimanakah sejarah dan sistem pemerintahan keluarga Asad di Syria?

Sejarah lebih 30 tahun  Syria di bawah rejim Hafiz Al-Asad menyaksikan terlalu banyak kezaliman yang dilakukan. Perkara pertama yang dilakukan oleh rejim Hafiz ialah menjatuhkan kepimpinan Sunni yang berada di sekelilingnya dan menaikkan golongan Syiah sebagai peneraju di kementerian-kementerian utama. Selepas itu, Syria menyaksikan pengaruh Ikhwan Muslimin berkembang yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh seperti Dr.Mustafa Siba’ie, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah , Syeikh Sa’id Hawa dan Dr.Munir Ghadban.Apabila melihat pengaruh Ikhwan Muslimin sudah berkembang, rejim Hafez telah melakukan pindaan pada perlembagaan negara itu dengan memasukkan fasa baru yang menyatakan dengan jelas iaitu sesiapa yang menyertai pertubuhan Ikhwan Muslimin maka hukumannya ialah hukuman mati. Gerakan dan kegiatan Ikhwan Muslimin diharamkan. Ini kerana selain berpegang dengan aqidah Syiah Nusairi, Hafez seorang sekular bahkan memperjuangkan dasar sosialis melalui partinya, Parti Kebangkitan Sosialis Arab. Parti ini diasaskan pada tahun 1947 dengan memperjuangkan dasar sosialis dengan matlamat utama; Bekerja demi mencapai perpaduan, kebebasan dan sosialisme. Slogannya ialah “Bangsa Arab yang satu dengan risalah yang berkekalan”.Kepimpinannya pula terdiri daripada tiga golongan:

Pertama: Yahudi

Kedua: Syiah ‘Alawiyyin

Ketiga: Golongan Sunni yang berfahaman sekular

Paling kejam apabila pada tahun 1982, Hafez Al-Asad bertindak ke atas penduduk di wilayah Hama melalui operasi ketenteraan yang digelar “operasi bumi hangus”. Ini kerana pada serangan ketenteraan selama 27 hari itu, tentera Syria atas arahan Hafez telah menggunakan kelengkapan perang seperti meriam bagi menyerang penduduk kampung yang tidak memiliki apa-apa senjata. Operasi ini yang diketuai oleh adik Hafiz sendiri iaitu Rif’at telah mengorbankan lebih 40 ribu nyawa muslim Sunni. Itu penyembelihan yang besar, belum dilihat penyembelihan kecil yang dilakukan. Sebagai contoh, pembunuhan di sebuah perkampungan di Halab yang dilancarkan pada pagi Hari Raya Aidilfitri tahun 1980. Ketika rakyat baru selesai menunaikan solat Aidilfitri, segerombolan tentera di bawah Jeneral Hashim Ma’ala telah mengepung kampung tersebut dan membunuh lebih 40 orang penduduk. Satu lagi contoh kekejaman Hafez diceritakan oleh seorang ulamak, Dr.Riyadh Abdullah. Katanya, Al-Marhum Sa’id Hawa pernah memberitahu beliau bahawa terdapat sebuah kubur yang lebarnya 10 meter yang Hafez menanam rakyatnya hidup-hidup.

Sejak peristiwa-peristiwa kejam tersebut, rakyat Syria sentiasa dibelenggu dengan ketakutan yang maha dahsyat. Mereka tidak berani menegur dan mengkritik Presiden bahkan dalam keluarga pun, seorang ayah tidak berani bercakap soal politik negara dengan anak dan begitulah sebaliknya. Bahkan terdapat kisah mereka yang mengkritik Presiden boleh dipenjara hingga 6 bulan.

Dalam masa yang sama, Hafez cukup menikus dengan Israel. Sejarah telah membuktikan bagaimana Bukit Golan yang menjadi hak Syria boleh terlepas kepada Israel dengan begitu mudah walaupun kononnya media negara menonjolkan Hafez seorang wira apabila melancarkan peperangan ke atas Israel tahun 60-an bagi merampas tanah Golan. Tetapi sebenarnya itu hanyalah lakonan Hafez apabila Israel dengan mudah merampas Bukit Golan dan hingga hari ini sebutir peluru tentera, Syria tidak lepaskan kepada Israel.

Hafez sebenarnya bukan membenci Ikhwan Muslimin tetapi membenci dan memusuhi Islam Sunni. Sebagai contoh di zamannya, Hafez mengeluarkan perintah kepada Kementerian Wakaf supaya tidak membenarkan masjid-masjid di Syria mengadakan pengajian bahkan selepas solat, masjid mesti ditutup.

4. Jika dilihat kepada revolusi Mesir hanya memakan masa 18 hari, begitu juga di Tunisia dan Libya yang menyaksikan kejatuhan rejim masing-masing. Di Syria, adakah terdapat dalang di sebalik rejim Syria yang menyebabkan rejim mampu bertahan?

Masa yang begitu lama di Syria berbanding dengan Mesir dan lain-lain antaranya kerana faktor tentera. Perlu diingat, tentera Syria diketuai oleh adik kandung Basyar iaitu Maher. Selepas dilantik Presiden Syria pada tahun 2000, Basyar tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pentadbiran kerana dia hanya seorang doktor dan ayahnya tidak melatih dirinya untuk menjadi politikus. Maka, dia terpaksa melantik orang yang dipercayainya dari kalangan keluarganya membantunya dari sudut pentadbiran. Maka dilantik adiknya sebagai ketua tentera, sepupunya Atif Najib sebagai ketua polis wilayah Dar’a selain tiga orang iparnya iaitu Asif Syaukat, Muhammad Nasif dan Abdul Fattah Qudsiyah.

Selain faktor kekuatan ketenteraan, sokongan Iran dan Hizbullah juga membantu Syria. Saya menyatakan demikian kerana terdapat bukti yang kukuh penglibatan Iran. Seperti yang kita maklum, Iran dan Hizbullah ini adalah Syiah. Dalam fahaman Syiah, kuasa atau wilayah itu merupakan perkara yang usul bukan furu’. Maka mereka akan mempertahankan bermati-matian kerajaan Syiah mereka sekalipun terpaksa menumpahkan darah. Terdapat tentera Syria yang berpaling tadah ini menangkap beberapa individu yang membantu tentera rejim. Apabila disiasat didapati mereka adalah tentera Iran yang masuk membantu rejim Syria. Begitu juga ‘wayang’ yang cuba dimainkan oleh Iran dalam mendalangi revolusi di Bahrain. Kita dikejutkan dengan berita kononnya angin perubahan dan revolusi sudah bertiup ke negara Bahrain. Bahrain adalah dipimpin keluarga beraja Sunni. Sebenarnya, berita revolusi di Bahrain adalah tidak benar. Apa yang berlaku ialah hanya beberapa kerat pemuda-pemuda Syiah Bahrain yang mencetuskan kekacauan di ibu negara, Manama. Minggu lalu, mereka menyerang balai polis menggunakan senjata api. Apabila berjaya diberkas, senjata di rampas didapati senjata tersebut buatan negara Iran.

Ini wajah sebenar pimpinan Syiah Iran yang sebenarnya menggunakan nama Islam sebagai alat dan propaganda mereka untuk memancing kepada fahaman Syiah mereka. Jumaat lalu, satu lagi kenyataan berbentuk provokasi dikeluarkan oleh ulamak Syiah mereka, Ayatullah Ahmed Jannati sewaktu berucap di Universiti Tehran menyatakan “Wajib ke atas Syiah untuk memasuki Syria dan berjihad bersama-sama pemerintah Syria hingga Syria tidak jatuh ke tangan musuh Ahlul Bait.” Apakah maksud kalimah ini? Siapa yang dimaksudkan dengan “musuh Ahlul Bait iaitu keluarga dan keturunan Rasulullah?” Bagi Syiah, musuh Ahlul Bait ialah golongan Nasibi atau mudahnya adalah Sunni. Bagi mereka, mempertahankan rejim Syria hari ini adalah jihad yang amat besar. Ekoran fatwa jahat ini, pada hari berikutnya, pertubuhan pembangkan menerima maklumat lebih 10 buah bas yang sarat dengan pengikut Syiah dari Iraq iaitu tentera Mahdi telah memasuki Syria bagi memerangi rakyat yang menuntut Basyar dijatuhkan.

Kedua, saya ingin jelaskan pendirian Hizbullah dalam kebangkitan rakyat Syria. Di awal revolusi, pemimpin mereka, Hasan Nasrallah menyatakan bahawa Hizbullah menyokong revolusi yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan Yaman kecuali Syria. Lebih menyedihkan, beberapa minggu lalu Nasrallah mengeluarkan kenyataan “tiada apa-apa yang berlaku di Homs” sedangkan dunia dapat menyaksikan betapa pembunuhan ke atas rakyat dilakukan saban hari di wilayah Homs, bagaimana Nasrallah boleh membutakan matanya dengan menyatakan tiada apa-apa yang berlaku? Sukacita saya mengingatkan teman-teman agar jangan tertipu dengan lakonan Islamik yang ditunjukkan oleh Hizbullah atau Iran. Terlalu banyak pendedahan yang dilakukan oleh bekas kumpulan Hizbullah atau bekas pengikut Syiah Iran yang mendedahkan kegiatan mereka sebenarnya. Sebagai contoh, sebuah buku bertajuk “Apa yang anda tahu tentang Hizbullah?” ditulis oleh Ali As-Sodiq, penulis mendedahkan petikan sebuah akhbar “Al-Anba” bilangan 8630 yang diterbitkan pada 27 Mei 2000 kenyataan Hasan Nasrallah menyatakan “Kami sama sekali tidak akan menyertai sebarang operasi ketenteraan menentang Israel bagi tujuan membebaskan Al-Aqsa”.

5. Dalam menghadapi revolusi bagi menjatuhkan kerajaan Bashar Assad di Syiria sekarang ini, tidak adakah kuasa-kuasa besar dunia seperti PBB dan Liga Arab yang betul-betul membantu rakyat Syiria dalam menentang dan menjatuhkan pemerintahan rejim Syiria ini?

Hingga kini, tiada apa yang boleh diharapkan kepada dunia. Liga Arab, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka hanya bersandiwara kononnya akan membantu rakyat Syria. Dalam hal ini, kita boleh memuji negara Turki yang menjadi jiran kepada Syria. Kerajaan pimpinan Tayyib Erdorgan kerap mengkritik rejim Syria bahkan membuka pintu sempadan negara untuk dijadikan khemah pelarian bagi rakyat Syria. Menteri Luarnya, Dawud Ughlu sendiri dilihat turun ke khemah-khemah pelarian membelai rambut kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman Basyar. Negara Saudi sendiri juga dilihat memberikan bantuan moral kepada Syria melalui rajanya, Raja Abdullah. Begitu juga terdapat cadangan dari Qatar yang menggesa negara Arab menghantar pasukan keamanan bagi memelihara keselamatan rakyat Syria.

Juga terdapat usaha PBB membentangkan usul di Majlis Keselamatan bagi menggesa tekanan lebih berat dikenakan kepada Basyar tetapi malangnya Russia dan China menggunakan kuasa veto menghalang usul tersebut diluluskan. Lebih mengecewakan, Menteri Luar Russia memberikan amaran kepada Qatar jika negara Qatar meneruskan cadangan menghantar tentera ke Syria, “Qatar akan dipadamkan dari peta dunia” satu kenyataan ugutan.

Dalam hal ini, Hamas juga menunjukkan sokongan kepada revolusi rakyat Syria. Pendirian Hamas sebelum ini ditunggu-tunggu dunia kerana Syria dan Iran adalah sekutu Hamas yang banyak memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Bahkan Ketua Biro Politiknya, Khaled Mash’al juga mendapat perlindungan di Damsyik.

Buat masa ini juga, tiada kumpulan Islam yang betul-betul serius dalam menangani isu ini. Mungkin kerana masing-masing fokus kepada isu dalaman masing-masing, sebagai contoh Ikhwan Muslimin Mesir yang baru dapat menguasai Parlimen dan bakal berhadapan dengan Pilihanraya Presiden dan pindaan terhadap Perlembagaan Mesir. Begitu juga negara-negara atau kerajaan Arab lain, mereka sepakat mengutuk tindakan kezaliman Basyar tetapi tiada tindakan susulan dilakukan.

6. Apakah sumbangan terbaik yang kita dapat berikan kepada ummat Islam di sana  sekarang ini?

Sebelum saya menjawab soalan ini, saya ingin melahirkan rasa dukacita terhadap laporan berita di Malaysia yang sedikitpun tidak membayangkan keadaan sebenar. Televisyen Malaysia telah melabelkan pejuang revolusi di Syria sebagai “pemberontak”. Apa beza dengan Basyar? Basyar melabelkan rakyatnya yang menuntut kebebasan ini sebagai “pengganas”. Lebih menyedihkan ada yang menganggap penyembelihan di Syria adalah ‘propaganda’. Saya tidak faham, apakah yang dimaksudkan dengan propaganda. Adakah pengeboman ke atas Homs hari ini propaganda? Adakah Masjid Khalid Al-Walid di Homs yang dibom beberapa hari lalu propaganda? Adakah tentera rejim yang memukul dan memaksa rakyatnya yang beragama Islam menukar syahadah kepada “Lailaha Illa Basyar” adalah propaganda? Adakah seorang kanak-kanak wanita bernama Marwah yang disembelih dan hanya menampakkan kepala sewaktu dikebumikan adalah propaganda? Adakah serangan tentera rejim yang memutuskan bekalan elektrik dan kemudian masuk menyerang dan membunuh pesakit dan doktor perubatan di Hospital Doma dan Homs beberapa minggu lalu adalah propaganda? Tidak, mereka sebenarnya tidak mendapat maklumat sebenar. Media dikuasai oleh pihak musuh dan musuh akan memastikan berita yang tepat tidak akan sampai. Maka antara tindakan yang boleh kita lakukan ialah:

Pertama: Sebaran maklumat. Saya mohon semua menggunakan kecanggihan teknologi hari ini bagi menyebarkan maklumat kepada mereka yang hampir dengan kita khasnya keluarga dan kawan-kawan di Malaysia.

Kedua: Kewangan. PMRAM sendiri telah melancarkan Kempen Prihatin Syria dan menubuhkan tabung khas bagi membantu rakyat Syria. Maka kewajipan kita menghulurkan bantuan kewangan.

Ketiga: Membantu dari sudut memperbanyakkan doa, solat hajat dan bacaan qunut nazilah pada setiap solat fardhu. Lakukan di rumah bersama kawan-kawan atau di markaz PMRAM cawangan masing-masing.

7. Pesanan Ustaz kepada semua

Saya ingin berpesan kepada para penuntut ilmu khasnya di Mesir agar mendalami aqidah Islam yang kita anuti hari ini iaitu aqidah Ahlus Sunnah wal jamaah serta berhati-hati terhadap aqidah yang memesongkan kita dari ajaran Islam yang sebenar. Apatah lagi fahaman yang mencerca para sahabat Nabi serta isteri-isteri kesayangan Rasulullah s.a.w seperti Syiah. Lebih-lebih lagi kita yang mendokong manhaj Al-Azhar yang jelas mengambil Ahlus Sunnah wal jamaah sebagai pegangan. Selain mendalami ilmu turath dan semasa, saya mengesyorkan supaya siswa dan siswi mengkaji sedikit sebanyak pemikiran fahaman yang menyimpang ini kerana ia cukup membahayakan umat Islam. Pendirian kita terhadap Ahlul Bait iaitu keluarga dan keturunan Rasulullah dalam hal ini mesti jelas. Kita tidak pernah memusuhi Ali dan keluarganya bahkan kita menyayangi dan wajib menghormati Ali dan semua sahabat Rasulullah s.a.w yang mempunyai kelebihan masing-masing. Bahkan menyayangi ahli keluarga Rasulullah adalah kewajipan dan perintah oleh Allah dan RasulNya. Akan tetapi perlu diingat, menyayangi mereka bukan hingga memuja dan mendewa-dewakan mereka. Saidina Ali dan Fatimah juga berlepas diri dari sebarang pemujaan yang dilakukan oleh pelampau mereka. Banyak kitab ditulis oleh ulamak yang menjawab tohmahan Syiah contohnya Dr.Muhammad Imarah, seorang tokoh pemikir Islam. Selain itu, Al-Marhum Syeikh Said Hawa juga telah menulis buku bertajuk “Khomeini: Pelik dari Sudut Aqidah, Pelik dari Sudut Pendirian” yang mempersoalkan beberapa pendirian Syiah yang dipelopori oleh Khomeini selepas mengasaskan negara Islam ala-Syiah di Iran tahun 1979. Jika Syiah satu fahaman yang tidak membahayakan fikrah Islam dan umatnya, kenapa perlu Al-Marhum seorang tokoh Sufi yang Haraki menulis buku seumpama itu.

Sebagai penutupnya  Ustaz Abdul  Malik meninggalkan kita dengan persoalan yang kita sendiri yang harus menjawabnya sebagai ummat Islam. Semoga dengan perkongsian ini dapat menjawab dan menjernihkan segala kekusutan dan pertanyan berkenaan dengan dilema yang di alami oleh umat Islam di Syiria sekarang ini dan memberi pengajaran dan pencerahan kepada kita apakah tindakan yang sepatut dan sewajarnya kita lakukan sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w pada saat umat Islam ditindas sekarang ini.

http://www.mymaqaz92.org

Bagi yang tak berapa jelas lagi bolehlah tonton Video di bawah ini..khususnya pengikut2 syiah di malaysia yang masih lagi menipu kita mengkaburi mata kita dengan mengatakan apa yang berlaku di Syria ini tidak ada kaitan langsung dengan Syiah,hanya perancangan dan propoganda barat semata2…banyak komen2 yang mereka hantar ke setiap posting saya bagi memjawab dan mempertahankan syiah..mereka anggap apa yang berlaku di syria ialah Propoganda barat dan sebagainya..betapa bodohnya mereka..masih ada lagi zaman sekarang orang yang berada dibawah tempurung yang terlindung dari maklumat2 sahih dalam dunia teknologi maklumat yang terhidang di hadapan mata kita..

………………1

……………..2

……………..3

………………4

………………5

————————————-

lawati juga Facebook Ustaz Abdul Malik Di Sini


Responses

  1. Assalamualaikum w.b.k

    Tiada syiah yang menyembah Ali dan dan imam melainkan mereka itu adalah wasilah (tali2 Allah yang berkesinambungan hingga ke hari kiamat).

    Satu fitnah yg saya baca di web ini iaitu syiah nusairi menyembah “kemaluan wanita”…sebenarnya ini adalah satu kelompok agama lain di syria.Pastikan kesahihan dahulu sebelum menulis.

    Darah nasibi adalah halal?..Semua hadis dalam Al-Kafi tidak dikategorikan sahih dan semuanya perlu melalui proses untuk memastikan kebenarannya.Samalah seperti Al-Quran…ada sebahagian ayat berfungsi menguatkan ayat yang lainnya.

    Apa pengertian Nasibi yang anda fahami?…pembenci Ali?ke anda faham nasibi sebagai Ahlus sunnah? Tidak pula Ali memfatwakan halal darah nasibi pada zamannya…sedangkan ketika pengepungan Uthman oleh pemberontak…Imam Ali melarang mereka menahan Uthman drp kehausan.

    Taqiyyah ini ada dlm Al-Quran…sebagaiman nabi mengarahkan Ammar untuk menyembunyikan imannya kpd tuannya supaya tidak berterusan disiksa.Lagi2 nak sebut taqiyah sbg tipu muslihat….tak faham betullah saya saudara ini,berapa kali nak beritahu.

    Memang benar ada nas tentang perlantikan Ali.salah satunya ayat al-balagh

    “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika kamu tidak kerjakan(apa yang diperintahkan itu bererti) kamu tidak menyampaikan dengan sempurna risalahNya. Dan Allah akan sentiasa memelihara kamu dari ganguan manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk bagi orang-orang yang kafir(menentang). Al Quran(5:67)

    sila lihat tafsir imam2 sunni sendiri.bukan satu ayat sahaja banyak lagi nas2 lain yang menguatkan.

    Orang nak perpaduan….anda inginkan perpecahan…itulah sebabnya suka kpd perang…suka kpd berita2 karut…world view sempit….

    penatlah saudara nak menjawab fitnah….

    Wallahualam.

  2. Assalamualaikum..
    Berat mata memandang,berat lg bahu memikul..
    Inilah yg digemari oleh musuh2 Islam..Umat Islam semakin dihimpit ttp saudara2 mereka diluar hanya lbh berminat bertegang leher perihal perbedaan Mazhab..Bodoh ke cerdik kita umat akhir zaman ni?
    Adakah musuh2 Islam di Iraq,di Afghanistan,di Sudan,di Somalia punya sensor Mazhab pd sejata2 mereka lalu bom mereka akan hanya berfungsi dan meletup berdasarkan pd Mazhab2 tertentu dlm sasaran radar mereka?
    Apabila sesebuah bom meletup apakah yg mati hanya ASWJ atau hanya SYIAH sahaja yg akan mati?
    Apakah peluru mengenal Perbedaan Mazhab?
    Apakah Taghut berminat mendalami perdedaan Mazhab2 anda apabila mereka ingin membinasakan Islam?
    Disinipun penyakit pertelingkahan Mazhab ini kelihatan semakin membarah..
    Apakah matlamat anda semua berdebat lalu dlm masa yg terbuang begini semakin ramai umat Islam yg mati?
    Apakah manfaatnya debat2 sebegini dlm keadaan umat Islam sedunia sedang darurat?
    Apakah dlm garis waktu yg semakin memendek ini,anda memilih pendekatan bertegang dan menegakkan kebenaran Fahaman masing2?
    Jika begitu anda sebenarnya hanya berpeluk tubuh..
    Apakah Kalimah Laila Ha ilallah tidak menjadikan kita semua bersaudara?
    Yg pastinya bg sy dlm kedua-dua kelompok yg bertentangan ini ada ASWJ Jadi2an dan Syiah jadi2an..Matlamatnya bkn nk membersihkan akidah,ttp membuang masa dan melengah-lengahkan panggilan Jihad..
    Anda semua mengundang laknat Allah dan seluruh Malaikat dilangit dan dibumi..
    Sedangkan mengacukan besi pd saudara kamu pun sudah dilaknat oleh seluruh malaikat dilangit dan dibumi apatah lg jika berdiam diri apabila besi dan serpihan2nya itu menyentuh,meladak dan menghancurkan tubuh2 saudara kamu..
    Perlukah anda menjadi pelombong emas,pelebur emas,penghias emas,pekedai emas utk mengenal emas tulen sedangkan Emas itu telah tersedia dikedai2?
    Pelombong emas tetap akan mengasingkan antara butiran emas dan Pasir krn itu kepakaran mereka..Begitu juga pelebur emas tahu akan suhu yg patut utk meleburkan emas..Penghias emas tahu akan dokrasi utk mencantikkan emas,dan pekedai emas tahu akan emas mana yg patut dijual dgn harga sepatutnya..
    Perlukah kita ambil tahu hingga ke lombong mana emas ini dilombong,dimana ia dilebur dan dimana ia ditempa?
    Itu bkn kerja kita..
    Nk bertaqlid pun tgk2lah kesesuaian keadaan samada kita sedang aman atau sebaliknya..
    Inilah penyakit2 yg menimpa umat akhir zaman,menyebabkan kita dijadikan sebagai hidangan,banyaknya kita hanya ibarat buih ttp tiada erti dan manfaat..Sikap anda dlm menilai membuktikannya..
    Selagi Allah s.w.t diangkat sebagai tuhan yg disembah,selagi Mauhammad s.a.w diangkat sebagai Rasul dlm hati dan sanubari masing2,selagi itu kita tidak boleh mengabaikan pemilik kalimah ini diapa2kan..
    Soal cabang bukan keutamaan dlm keaadaan yg darurat sebegini,ttp dilakukan setelah kita kembali aman..

  3. kebenaran sejarah yg kelam sekalipun hendaklah tidak menjadikan umat Islam semakin terperuk pada perpecahan. satu dgn yg lain saling hujah menghujah. Sepatutny keteladanan yg d ukir para sahabat masa dulu tidak d biarkan hilang dan menguburkan pesanan kebaikan untuk kita.

  4. Salam…

    dari dulu sampai sekarang syiah dan sunni ada di Syria…kenapa sekarang baru nak berbunuhan…fikirlah sikit…ada sumber lain yg lebih credible mengatakan ini adalah percaturan pihak ketiga…negara kita sendiri berpegang pendapat sebegini…mereka adalah2 wartawan2 yg pergi sendiri ke sana melihat dgn mata kepala sendiri…bukan copy paste di internet…

    setakat di internet…peristiwa di Libya pun boleh jadi peristiwa di Syria…

  5. insankerdil :
    Taqiyyah ini ada dlm Al-Quran…sebagaiman nabi mengarahkan Ammar untuk menyembunyikan imannya kpd tuannya supaya tidak berterusan disiksa.Lagi2 nak sebut taqiyah sbg tipu muslihat….tak faham betullah saya saudara ini,berapa kali nak beritahu.

    JAWAB :
    taqiyyah amar dibenar dlm keadaan nyawa terancam. ini dibolehkan dalam Islam. taqiyyah shiah tidak kira asalkan niat jahat mereka tercapai, walaupun tidak dlm keadaan nyawa terancam. malah wajib bertaqiyyah terutama utk menipu org sunni.

    ________________________________________________

    insankerdil:
    dari dulu sampai sekarang syiah dan sunni ada di Syria…kenapa sekarang baru nak berbunuhan…fikirlah sikit. ada sumber lain yg lebih credible mengatakan ini adalah percaturan pihak ketiga…

    JAWAB :
    pihak ketiga memang ada peranan..iaitu dajjal yg sedangmempersiapkan diri utk keluar.

    dulu atau sekarang bukan soalnya. dulu mereka menyusup dlm negara islam timur tengah. memanglah mereka perlu masa utk membina kekuatan dulu. takkanlah masuk negara orang baru sehari dua dah bikin onar. tentulah ada perancangan.

    sekarang adalah masa yg mereka fikir sesuai utk membuat kerosakan besar2an. mereka ikut perintah dajjal yg sedang bertapa di isfahan.
    ___________________________________________________

    soalan untuk insankerdil :

    apa kurangnya ajaran ahli sunnah sehingga anda taksub dgn shiah laknatullah itu?

    adakah merasa shiah glamor? shiah nampak hero sebab berani lawan adik tiri dia amerika dan israel yang takakan serang Iran. kalau ada pun hanyalah sandiwara utk menipu org mcm insankerdil.

    buatlah solat taubat dan istiharah dan amalkan 10 ayat Surah Al Kahfi dan munajat kepada Allah supaya diberi petunjuk mengenai shiah dan dajjal akhir zaman.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: